KUALA LUMPUR, 3 Mei - Projek Residensi Kecapi di Sentul yang terbengkalai selama 10 tahun kini dilancarkan semula.
Jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, ia hasil kerjasama kukuh antara kerajaan dan syarikat swasta.
Usaha itu, bukti komitmen kerajaan dalam menyediakan perumahan mampu milik kepada komuniti bandar terutamanya golongan berpendapatan rendah.
Ia juga selari inisiatif Program Usaha Jaya Insan (PUJI) di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan yang bertujuan membasmi kemiskinan bandar.
"Pelancaran hari ini mencerminkan iltizam dan kejujuran dalam pelaksanaan projek ini, yang membolehkan kawasan yang sekian lama terbiar dipulihkan menjadi persekitaran yang lebih bermaruah,” katanya selepas ditemui pada majlis pelancaran projek tersebut di Sentul, hari ini.
Projek Residensi Kecapi membabitkan 250 unit kediaman dengan setiap satunya berkeluasan lebih 60 meter persegi serta dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air.
Daripada keseluruhan 250 unit, lebih 130 unit disediakan khusus untuk pemilik asal di kawasan yang dibangunkan.
“Apa yang lebih saya hargai adalah komitmen untuk memastikan proses pengesahan dilakukan secara menyeluruh dan telus, melibatkan pasukan audit khas daripada Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan pihak pemaju iaitu Sentul Raya Sdn. Bhd. sendiri yang turun padang bagi memastikan hak waris dan pemilik asal kawasan ini tidak terabai.
“Inilah contoh tata kelola yang adil dan manusiawi, yang harus menjadi teras kepada setiap pembangunan semula bandar agar rakyat tidak menjadi mangsa kepada proses pembangunan itu sendiri,” ujarnya lagi.
Harga seunit kediaman Residensi Kecapi adalah sekitar RM42,000.00.