SEREMBAN, 5 Mac- Kerajaan Negeri Sembilan akan mengambil tindakan lebih tegas dalam menangani isu berhubung insiden pelupusan sisa babi dari negeri jiran yang di bawa ke Port Dickson.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddn Harun berkata pihaknya telah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Jabatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menguatkuasakan peraturan bagi mengekang isu tersebut daripada berterusan.
Terbaharu, pihaknya mendapat maklumat berkaitan pembuangan lebih 100 bangkai babi di kawasan Pig Farming Area (PFA) Bukit Pelandok, Port Dickson.
Ini merupakan kejadian ketiga dilaporkan di daerah Port Dickson dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
"Tidak ada peliharaan babi di kawasan Negeri Sembilan tetapi ada bangkai babi yang dihantar daripada luar ke Negeri Sembilan.
Jadi, saya minta supaya pihak polis, pihak veterinar, pihak berwajib memberikan perhatian kerana ini akan memberikan kesan yang kurang baik, memberi kesan kepada tuan punya tanah. Kita tak nak kita dijadikan sebagai kawasan pembuangan sebegini," kata Datuk Seri Aminuddin kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Negeri, di sini.
Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) telah melaksanakan aktiviti nyahkuman di lokasi pembuangan sisa babi haram yang dikesan di kawasan Site A Tanah Merah, Port Dickson pada 13 Februari lalu.
JPVNS dalam kenyataan memaklumkan tindakan itu dilakukan bagi mengelakkan penyebaran penyakit haiwan.