fb fb fb fb fb

Negeri Sembilan mohon pertimbang bina sebuah lagi hospital baharu

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun

SEREMBAN, 22 Januari - Kerajaan Negeri Sembilan memohon agar Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbangkan supaya membina sebuah lagi hospital baharu di negeri itu terutamanya di daerah Seremban.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata, ia bagi menampung kesesakan pesakit di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (HTJS) yang merupakan hospital utama di negeri itu.

Ketika ini, kerja-kerja naik taraf  HTJS sedang dijalankan bagi menambah baik kemudahan yang terdapat di hospital tersebut.

"Bagi pihak kerajaan negeri kita akan memohon sebuah lagi hospital baharu, kita sedia maklum ada pertambahan di Kuala Pilah dengan blok bangunan yang besar melibatkan lebih 1,000 kakitangan baru di Rembau, dah siap di Port Dickson, akan beri kemudahan yang lebih baik.

"Tetapi kita juga masih memerlukan kemudahan di Seremban dan ini antara yang kita sentiasa mohon di pihak KKM supaya diberi keutamaan untuk Negeri Sembilan untuk mendapat lagi sebuah hospital kemudahan bangunan baru ini antara yang kita pohon," kata Aminuddin.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini.

Tambahnya, cadangan pembinaan hospital kedua di Seremban itu juga menjadi keperluan utama berikutan peningkatan jumlah penduduk di daerah tersebut.

TETITIA YUSOFF