fb fb fb fb fb

Negeri Sembilan cadang semakan tarif air kepada SPAN

Menteri Besar Datuk Seri Utama Aminuddin Harun

SEREMBAN, 15 Julai -Kerajaan Negeri Sembilan mengemukakan cadangan semakan kadar tarif air kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), bagi menangani cabaran perkhidmatan bekalan air di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata, semakan tarif diperlukan dengan mengambil kira keseluruhan kos yang ditanggung selepas kenaikan tarif elektrik termasuk kerja-kerja baik pulih dan penggantian paip lama.

Katanya, semakan tarif itu juga diharap dapat dilibatkan kerja-kerja membaik pulih tangki air sedia ada yang tidak berfungsi.

"Antara keperluan asas untuk kita sediakan, kemudahan kepada rakyat tentang isu air adalah tarif elektrik. Tarif elektrik yang meningkat juga akan membuat tarif air kita juga meningkat.

"Untuk semua sedia maklum kadar air bagi kategori domestik pertama masih disubsidi oleh kerajaan. Pihak Sains mengenakan caj sebanyak RM0.75 sen, sedangkan kos sebenar ialah RM1.10. Ini bermakna terdapat subsidi kira-kira 30 sen yang ditanggung pihak kami," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Tapak Pusat Beli-Belah Baharu Aeon Seremban 2, di sini.

Terdahulu, media melaporkan SPAN menerima permohonan semakan semula kadar tarif air daripada operator perkhidmatan bekalan itu di 10 negeri, setakat 30 Jun lalu.

SPAN menerusi satu kenyataan memaklumkan, ia melibatkan operator perkhidmatan di Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang. 

TETITIA YUSOFF