(Datuk Ahmad Marzuk bersama peserta seminar Penghayatan Nilai-nilai Islam Penjawat
Awam Peringkat negeri Melaka di Auditorium Masjid Al Azim, Bukit Palah)
BUKIT PALAH, 23 Ogos- Majlis fatwa di setiap negeri disaran untuk menyegerakan pelaksanaan fatwa ajaran sesat bagi mengekang penyebaran ajaran sesat di negara ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk berkata, bagi negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan, fatwa itu akan dilaksana oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Jelasnya, kerajaan negeri perlu mengadakan muzakarah bagi memperhalusi perkara tersebut agar tindakan lanjut dapat diambil sekiranya ajaran sesat seperti Hadi Minallah dikesan di mana-mana negeri.
"Setakat ini pihak kita sudah pun mengenal pasti soal ajaran ini dan soal memfatwakan kita serah kepada negeri masing-masing terutama bagi negeri-negeri yang ada gerakan ajaran tersebut mereka perlu lebih proaktif untuk mengadakan muzakarah supaya nanti boleh diambil tindakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas seminar Penghayatan Nilai-nilai Islam Penjawat Awam Peringkat negeri Melaka di Auditorium Masjid Al Azim, Bukit Palah.
Mengulas lanjut katanya, setakat ini tiada data berkaitan penangkapan atau tindakan yang dikenakan kepada individu yang terlibat dengan ajaran sesat Hadi Minallah, namum siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.
(Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk)