KOTA BHARU, 2 Mei - Kerajaan persekutuan bersetuju untuk menaik taraf landasan sepanjang 400 meter bagi membolehkan penerbangan antarabangsa dapat dilakukan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, di sini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya akan cuba melaksanakan naik taraf berkenaan secepat mungkin supaya dengan jaringan penerbangan antarabangsa akan meningkatkan jumlah pelancong yang berkunjung ke negeri itu.
"Saya setuju dan akan kita cuba laksanakan secepat mungkin dan saya telah beritahu Malaysia Airlines (MAS) supaya sebaik siap kapal terbang itu maka perjalanan umrah dan haji dari Kelantan boleh bergerak dari Kota Bharu langsung ke Jeddah ataupun Madinah.
"Ini baru dikatakan Kerajaan MADANI dengar dan sebaiknya kita akan lakukan hanya tinggal 400 meter lagi," Anwar berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Negeri Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini.
Mengulas lanjut katanya, beliau telah mengarahkan supaya perkara tersebut diambil perhatian oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan diharap beliau dapat membantu menyegerakan pelaksanaaan itu menjadikan LTSIP sebagai lapangan terbang antarabangsa.
Terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) fasa satu mula beroperasi semalam.
Pengoperasian fasa satu terminal itu mampu menampung hingga 1.5 juta penumpang manakala pembinaan fasa dua akan dilaksanakan serta-merta dan mampu menampung empat juta penumpang.
Projek pembesaran dan naik taraf LTSIP tersebut melibatkan kos sebanyak RM440 juta.