fb fb fb fb fb

Naik harga tepung tidak bersubsidi, KPDNHEP akan ambil tindakan, tiada kompromi

PULAU PANGKOR, 19 Mac- Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang menaikkan harga tepung tidak bersubsidi tanpa mematuhi perundangan pencatutan menjelang Ramadan dan Aidilfitri ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, golongan berkenaan boleh didakwa melakukan kesalahan mencatut di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Menurutnya, KPDNHEP sentiasa memantau harga tepung bersubsidi memandangkan ia untuk kegunaan golongan berpendapatan rendah.

“Yang tidak bersubsidi kita tidak pantau, namun, kalau naik mendadak dan tidak berpatutan harganya, kita boleh kenakan tindakan. Mereka ini mungkin boleh dikatakan melakukan kesalahan dari segi mencatut, kita ada undang-undang anti pencatutan,” katanya.

Beliau merasmikan Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di Pulau Pangkor hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri.


(Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di Pulau Pangkor)

Alexander turut menasihati orang ramai agar membuat aduan secara rasmi sekiranya berlaku kenaikkan harga tepung tidak bersubsidi dan serta barangan lain kepada KPDNHEP.

Sebelum ini, media melaporkan keluhan pengguna serta peniaga makanan berkenaan kenaikan harga tepung tidak bersubsidi sehingga RM1 sekilogram sejak dua minggu lalu amat membebankan mereka.

Media Baharu