JOHOR BAHRU, 28 Disember- Lapan termasuk tiga kanak-kanak mengalami kecederaan dalam nahas dua kenderaan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan sebuah treler di Jalan Mersing Nitar dekat Felda Nitar 1, Mersing, Johor.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing Pegawai Bomba Kanan II Shamsuri Shafai berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.01 petang tadi.
"Satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan masing-masing sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan pacuan empat roda dengan 13 anggota dari BBP Mersing dihantar ke lokasi.
"PKO tiba di lokasi nahas pada pukul 3.21 petang dan bertindak menyelamatkan kesemua lapan mangsa yang menaiki MPV termasuk pemandu yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat.
"Pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan. Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke hospital bagi menerima rawatan lanjut," katanya menerusi kenyataan.