LUMUT, 22 Oktober – Seorang wanita maut manakala tiga ahli keluarganya cedera dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Jalan Kampung Kayan berhampiran Jabatan Kerja Raya (JKR) Kayan, Sitiawan, pagi Rabu.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.50 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 28.5 kilometer dari balai.
Menurut beliau, nahas itu melibatkan 13 mangsa termasuk seorang pemandu lori, dua lelaki tempatan yang menaiki sebuah kereta, lima lelaki warga Pakistan menaiki kenderaan pacuan empat roda, empat sekeluarga menaiki motosikal serta seorang penunggang motosikal lain.
“Siasatan awal mendapati kereta berkenaan dipercayai terbabas di bahu jalan sebelum sebuah motosikal yang cuba membantu turut dirempuh lori, disusuli pelanggaran dengan kenderaan pacuan empat roda dan sebuah motosikal lain
"Penunggang motosikal itu terdiri daripada empat sekeluarga iaitu suami, isteri dan dua anak mereka," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Wanita berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suami dan dua anaknya cedera.
Selain itu, seorang lelaki menunggang motosikal lain turut cedera dan dibawa ke hospital oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan hidraulik bagi mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak KKM dan polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.