fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47: Trump tiba di Malaysia Ahad ini

Foto REUTERS

KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijadual tiba di Malaysia Ahad ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pengesahan mengenai perkara itu telah dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu.

"Menurut maklumat yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri, Presiden AS Donald Trump dijangka tiba pada 26 Oktober. Sekiranya terdapat sebarang perubahan, Kementerian Luar akan memaklumkan perkembangan lanjut," katanya dalam sidang media selepas meninjau persiapan di Pusat Media Antarabangsa (IMC) dan Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Trump dilaporkan menyatakan hasrat untuk melawat Malaysia, Jepun dan Korea Selatan dalam masa terdekat, namun tidak mendedahkan tarikh rasmi kunjungannya.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Oktober ini yang dijangka menghimpunkan beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Rusia Vladimir Putin, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa selain Trump.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN