fb fb fb fb fb

Nahas FRU: Lori bawa batu kerikil tanpa kebenaran – MOT

Lori tipper yang terlibat dalam nahas / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 12 Jun - Kementerian Pengangkutan (MOT) mengesahkan lori tipper yang terlibat dalam nahas maut membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan bulan lalu, tidak mempunyai kebenaran sah untuk membawa muatan batu kerikil.

Menurut laporan awal siasatan, lori tersebut hanya diluluskan untuk mengangkut arang batu tetapi ketika kejadian, ia membawa muatan batu kerikil seberat 40,960 kilogram, melebihi 70 peratus daripada had dibenarkan.

Kenderaan itu juga tidak dilengkapi sistem GPS seperti diwajibkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Lori berkenaan didapati melanggar syarat di bawah Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Siasatan turut mendedahkan lori FRU tidak dilengkapi tali pinggang keledar, termasuk di tempat duduk hadapan.

"Tempat duduk jenis bangku di bahagian belakang juga tidak memenuhi spesifikasi keselamatan antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada kadar korban tinggi." menurut laporan itu.

Objek tidak diikat dalam kabin turut dikenal pasti sebagai faktor risiko kecederaan parah.

Pemeriksaan teknikal mengesahkan semua sistem utama lori dalam keadaan baik, dan tiada bukti kegagalan mekanikal menyumbang kepada kemalangan.

Kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak pendakwaan dalam masa terdekat.

Dalam insiden pada 13 Mei lalu, sembilan anggota FRU terkorban manakala sembilan lagi cedera apabila lori FRU bertembung dengan lori tipper yang dipercayai memasuki laluan bertentangan.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ