TANJUNG MALIM, 16 Jun- Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang tercedera dalam nahas jalan raya di Gerik, tidak perlu menangguhkan semester pengajian.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pihaknya sedang menggerakkan segala usaha, termasuk penyelarasan akademik bagi memastikan mereka yang terlibat tidak tercicir dalam akademik masing-masing.
Perkara berkenaan merupakan antara yang dititahkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri, Tuanku Zara Salim, serta disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kepada beliau tempoh hari.
"Pihak UPSI akan memastikan kebajikan kakitangan dan pelajar yang menjadi sukarelawan dalam menghulurkan bantuan sama ada kepada mangsa mahupun waris terus terjaga.
"Pihak universiti akan memanfaatkan pelbagai tabung dalaman dan sumbangan yang diterima bagi memastikan segala usaha berkenaan dapat dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat khas berkenaan perkembangan terkini pasca nahas jalan raya di Gerik secara dalam talian di UPSI, Tanjung Malim.
Dalam kejadian awal pagi 9 Jun lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB).
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV).