KUALA LUMPUR, 16 Jun - Dakwaan bahawa rasionalisasi subsidi RON95 akan membebankan majoriti rakyat disifatkan sebagai kempen negatif yang bertujuan mencetuskan kebimbangan masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tuduhan kononnya 85 hingga 95 peratus rakyat bakal terjejas hanyalah gimik terdesak sesetengah pihak.
Golongan ini sengaja mewujudkan persepsi negatif terhadap langkah kerajaan.
“Isu kenaikan harga RON95 juga telah dijadikan bahan kempen negatif. Saya ingin tegaskan sekali lagi, tiada sebarang isu berbangkit tentang pengurangan subsidi RON95 yang kononnya akan membebankan 85 hingga 95 peratus rakyat kita.
“Kita perlukan naratif yang positif dan memberangsangkan untuk memperkukuh ekonomi, bukan menyebarkan ketakutan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Energy Asia 2025 di ibu negara.
Jelas Datuk Seri Anwar, pelaksanaan rasionalisasi subsidi penting bagi memastikan sumber negara diagih lebih adil dan berkesan.tINA
Tindakan itu memfokuskan untuk membantu golongan miskin, meningkatkan mutu pendidikan serta memperbaiki perkhidmatan awam termasuk kesihatan.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 dijadualkan bermula pada separuh kedua tahun ini, selaras agenda pembaharuan fiskal negara.