fb fb fb fb fb

NAEZ sasar pelaburan lebih RM2.5 bilion, tawar 2,000 peluang pekerjaan

(Foto hiasan)

KANGAR, 11 Ogos- Sejak 2014, Kerajaan Negeri Perlis telah memulakan strategi dan pelaksanaan bagi menggerakkan pengeluaran makanan secara komersial.

Sebanyak 10 projek berskala besar telah dan sedang dilaksanakan selaras dengan dasar Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Nurulhisham Yaakob, antaranya Projek Superfruits Valley seluas 50 hektar di Hutan Simpan Rimba Mas-Mas oleh FigDirect Sdn Bhd dengan tanaman lemon, buah tin, gac, markisa dan mulberi.

Selain itu, Projek Tanaman Nanas MD2 seluas 87 hektar di Wang Kelian oleh GG Eco Farm Sdn Bhd dan projek tanaman Pisang Cavendish seluas 160 hektar di Hutan Simpan Kekal Lubuk Sireh oleh PCE Retails Sdn. Bhd.

Kerajaan negeri juga sedang membangunkan Zon Ekonomi Pertanian Bio Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NAEZ) yang diterajui oleh pihak swasta dengan menyasarkan lebih daripada RM2.5 bilion pelaburan dan lebih 2,000 peluang pekerjaan.

Ia juga bakal meningkatkan produktiviti dan daya saing rantaian nilai industri pertanian melibatkan sektor hiliran dan huluan pertanian, penyelidikan, pembangunan dan pengkormesilan , modal insan dan aspek pembiayaan projek.

Tambahnya, menerusi Jabatan Pertanian negeri, empat program utama telah dilaksanakan antaranya pewujudan ladang benih padi selaras dengan hasrat menjadikan Perlis sebagai pengeluar benih padi bernilai tinggi.

Sehingga kini, sebanyak 228 projek telah dilaksanakan di bawah Program Pertanian Bandar dan Kebuniti melibatkan seramai 6,138 orang peserta dengan perbelanjaan berjumlah RM1 juta.

Nurulhisham berkata demikian pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri bagi menjawab soalan lisan oleh ADUN Guar Sanji,Mohd Ridzuan Hashim.


(Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Nurulhisham Yaakob)

Media Baharu