fb fb fb fb fb

982 unit rumah PPR disediakan untuk OKU

(Gambar PPR Tehel, Melaka)

KUALA LUMPUR, 11 Ogos- Sebanyak 982 unit rumah yang dibangunkan menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) diperuntukkan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

Menurut Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib, penetapan kuota satu peratus daripada keseluruhan 98,196 unit rumah PPR itu bagi memastikan warga OKU turut mempunyai peluang memiliki rumah sendiri.

"Daripada jumlah tersebut sebanyak 980 unit rumah disediakan untuk pemilikan OKU dengan pengisian sebanyak 809 unit, 80 peratus dan berbaki 173 unit atau 18 peratus. Perincian pemilikan rumah itu juga melibatkan rumah PPR yang saya sebutkan tadi, PPAM, PRIMA dan juga bawah SPNB, katanya ketika menjawab ketika pertanyaan Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi dalam sidang Dewan Negara pagi tadi.

Tambahnya, keperluan rumah yang mesra OKU dengan menerapkan piawaian spesifikasi reka bentuk yang sejagat turut dilaksana selaras Dasar Rumah Mampu milik negara.

Terdahulu, Ras Adiba bertanya mengenai peluang golongan OKU untuk memiliki rumah serta jumlah OKU yang telah menerima manfaat melalui skim perumahan bawah KPKT.

Dalam perkembangan berkaitan Ismail berkata pihak KPKT telah memperkenalkan Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) bagi meningkatkan aksesibiliti rakyat khususnya golongan B40 dan M40 termasuk OKU untuk mendapatkan pembiayaan bagi memiliki rumah pertama bawah Program Pemilikan Kediaman (HOPE).

Ismail turut menjelaskan bahawa penetapan piawaian spesifikasi berkaitan reka bentuk perumahan untuk OKU telah digariskan dalam Standard Perumahan Kebangasaan 2019 menjawab persoalan Ras Adiba sama ada kerajaan bersedia meminda akta berkaitan untuk memastikan semua projek perumahan menepati piawaian untuk OKU.

“Spesifikasi ini masih relevan diguna pakai dalam setiap pembangunan perumahan. Buat masa ini, tiada keperluan untuk meminda garis panduan ini dan KPKT bersedia menambah baik dasar dan garis panduan sedia ada untuk memastikan semua golongan termasuk OKU disantuni dalam penyediaan bekalan perumahan kepada mereka.

“KPKT juga bertanggungjawab memastikan pemaju dan kontraktor mematuhi syarat ditetapkan melalui Akta OKU 2008 (Akta 685) dan Standard Perumahan Kebangsaan 2019 selain pihak berkuasa tempatan akan memastikan perincian keperluan OKU dipatuhi dalam setiap kebenaran merancang dan tidak akan diluluskan sekiranya mereka tidak mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.


(Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib ketika sesi soal jawab sidang Dewan Negara hari ini)

Media Baharu