fb fb fb fb fb

NADMA, agensi penyelamat dikerah bantu pindahkan mangsa banjir - Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 27 Februari- Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi penyelamat telah dikerah bagi kerja-kerja memindahkan mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan sejak semalam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) juga sedang melakukan kerja-kerja menyelamat di kawasan terjejas bagi memastikan proses pemindahan mangsa berjalan lancar.

"Angkatan Tentera Malaysia melalui Briged Kelapan Infantri Malaysia juga telah diatur gerak membantu mangsa di kedua-dua negeri. Ramai yang terjejas sedang diselamatkan dan dibawa ke tempat yang lebih selamat," kata Ismail Sabri.

Pada masa sama, beliau juga telah mengarahkan NADMA memastikan kit makanan mencukupi di PPS selain Kementerian Kesihatan turut membantu dalam memastikan pencegahan penularan COVID-19 dilaksanakan di pusat pemindahan.

Perdana Menteri turut meminta mangsa banjir mengikuti langkah-langkah keselamatan dan berpindah ke PPS atau tempat yang selamat untuk keselamatan diri dan keluarga.

"Sama-sama kita doakan agar keadaan banjir segera pulih dan mangsa dapat pulang ke kediaman masing-masing," katanya.

Setakat pagi tadi, banjir di kedua-dua negeri terus mencatat peningkatan dan seramai 4,335 orang daripada 1,287 keluarga dilaporkan berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu manakala 3,222 orang daripada 1,034 keluarga di PPS Kelantan.

Media Baharu