fb fb fb fb fb

JPS rekodkan 52 kejadian banjir seluruh negara setakat ini

KUALA LUMPUR, 27 Februari- Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) setakat ini telah merekodkan terdapat 52 bilangan kejadian banjir di seluruh negara bermula dari 23 sehingga 27 Februari 2022, masing-masing 25 kejadian di Terenggganu dan 21 kejadian di Kelantan yang dilanda banjir Monsun manakala Selangor merekodkan enam kejadian banjir kilat.

Daerah Besut, merekodkan 10 kejadian banjir tertinggi bagi negeri Terengganu, jajahan Jeli merekodkan lapan kejadian banjir tertinggi bagi negeri Kelantan dan daerah Gombak
merekodkan tiga bagi negeri Selangor.

Berdasarkan ramalan METMalaysia, amaran hujan berterusan (bahaya) yang dikeluarkan pada 10.45 pagi, 25 Februari 2022, JPS telah mengeluarkan dua amaran banjir bagi negeri Kelantan dan Terengganu.

Bagi negeri Kelantan, untuk tempoh 24 hingga 26 Februari 2022, kumulatif hujan tertinggi direkodkan di stesen Ladang Kerila, jajahan Tanah Merah adalah sebanyak 450 mm.

Berdasarkan rekod hujan ini kala ulangan purata yang dicerap adalah 6 ARI (Average Recurrence Interval) bagi tempoh tiga hari maksimum.

Tiga lagi stesen hujan yang menunjukkan bacaan hujan yang tinggi bagi tempoh tiga hari maksimum ialah di stesen hujan Kg. Jenob, Tanah Merah sebanyak 447 mm, stesen hujan Air Lanas, Jeli 391 mm dan stesen hujan Rantau Panjang, Pasir Mas sebanyak 383 mm.

Bagi negeri Terengganu, untuk tempoh 24 hingga 26 Februari 2022, kumulatif hujan tertinggi direkodkan di stesen hujan Kg. Embong, Hulu Terengganu adalah sebanyak 508 mm.

Berdasarkan rekod hujan ini kala ulangan purata yang dicerap adalah 3 ARI bagi tempoh tiga hari.

Selain stesen ini, tiga lagi stesen hujan yang menunjukkan bacaan hujan yang tinggi bagi tempoh tiga hari maksimum ialah di stesen hujan Tanjung Mentong, Hulu Terengganu sebanyak 491.5 mm, stesen hujan Yak Yah, Kemaman sebanyak 486 mm, dan stesen hujan Empangan Kenyir, Hulu Terengganu sebanyak 482 mm.

Situasi semasa hujan pada 27 Februari 2022 sehingga jam 10 pagi di daerah Besut, bacaan hujan harian maksimum tertinggi adalah 270 mm di stesen Kg. Keruak dan di daerah Hulu Terengganu, bacaan hujan harian maksimum tertinggi adalah 643 mm di stesen Kg Embong.

Orang awam boleh mendapatkan maklumat hebahan amaran banjir dan juga status aras air sungai serta kelebatan hujan di seluruh Malaysia di laman sesawang Public Infobanjir iaitu publicinfobanjir.water.gov.my dan juga menggunakan aplikasi mobile apps MyPublic Infobanjir yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple Apps Store.

Media Baharu