SUNGAI PETANI, 19 Julai - Akses kepada kemudahan digital dan pelbagai program komuniti boleh dinikmati Penduduk sekitar Taman Pekan Baru melalui pembukaan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Inisiatif tersebut selaras dengan usaha Kerajaan MADANI untuk memperkasa masyarakat secara inklusif dalam era digital.
Majlis perasmian disempurnakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang Berhormat Tan Sri Dr Johari Abdul bersempena Program Hari Bersama Komuniti (HBK), sebagai bukti komitmen kerajaan untuk membawa perubahan bermakna kepada akar umbi.
Dalam ucapan beliau, Tan Sri Johari menekankan NADI perlu kekal sebagai ruang yang dimiliki bersama rakyat, bersifat relevan dan menyokong pembangunan sosioekonomi komuniti melalui program seperti keusahawanan digital, literasi ICT dan kesejahteraan kendiri.
Beliau turut berkesempatan beramah mesra bersama pemimpin setempat dan masyarakat yang hadir serta menyertai pelbagai aktiviti komuniti dalam suasana penuh muhibah dan kekitaan.
NADI Taman Pekan Baru mula beroperasi 9 Februari lalu merupakan salah satu daripada empat pusat baharu yang ditubuhkan di Kedah di bawah inisiatif “1 DUN 1 NADI”, menjadikan jumlah keseluruhan NADI di negeri tersebut sebanyak 81 buah.