KUALA LUMPUR, 3 Disember – Agenda keselamatan dan kesejahteraan belia diperkukuh merupakan dua inisiatif baharu yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) Ke-6 hari ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menumpukan perhatian kepada perlindungan belia dalam ruang digital serta pengukuhan kesihatan awam dalam kalangan anak muda.
Inisiatif pertama, Malaysia Against Malicious Exploitation – Community of Practice (MYGAME–CoP), memberi fokus kepada pencegahan eksploitasi pemain muda oleh pihak ekstremis melalui permainan digital.
Melalui kerjasama antara agensi kerajaan, penyelidik, penyedia platform permainan dan komuniti e-sukan, program ini akan membangunkan garis panduan keselamatan, memperkukuh perkongsian maklumat, serta meningkatkan ketahanan digital generasi muda.
Inisiatif kedua, PROSTAR 2.0 ke arah Mengakhiri AIDS 2030, menumpukan kepada pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif, intervensi awal tingkah laku berisiko serta penglibatan belia sebagai rakan sebaya untuk menyebarkan mesej kesihatan.
Kerjasama strategik antara institusi pendidikan, pertubuhan belia dan pusat komuniti dijangka memperluas capaian program ini di seluruh negara.
Mesyuarat turut menekankan kepentingan menangani isu kesejahteraan sosial belia, termasuk kesihatan mental, buli, penyalahgunaan dadah serta ketagihan digital.
Kerajaan juga menyedari keperluan menyantuni kumpulan umur 30 hingga 40 tahun melalui kesinambungan bantuan sedia ada, selaras pelaksanaan had umur belia baharu bawah 30 tahun mulai 1 Januari 2026.
Timbalan Perdana Menteri yakin bahawa melalui komitmen bersepadu semua pihak, Malaysia mampu melahirkan generasi muda yang berdaya tahan, berketerampilan, serta mampu memacu masa depan negara yang lebih makmur dan sejahtera.
