fb fb fb fb fb

MYAirline perlu lunaskan tunggakan gaji, bayaran balik jika mahu beroperasi semula

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook

PUTRAJAYA, 12 Januari- Kerajaan tidak akan sesekali membenarkan syarikat penerbangan MYAirline Sdn Bhd beroperasi semula jika syarikat itu tidak melunaskan tunggakan gaji kakitangan serta membuat bayaran balik kepada penumpang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan syarikat terbabit perlu melunaskan terlebih dahulu dua syarat terbabit jika mahu mendapatkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) untuk beroperasi semula.

Beliau berkata pihaknya akan bertemu dengan syarikat penerbangan terbabit bagi mendengar cadangan dan kedudukan mereka ketika ini. Keutamaan kepada beberapa syarat perlu dipatuhi untuk memulakan operasi.

"Pertama, mereka perlu berusaha memastikan bayaran balik dibuat, kedua, apa sahaja yang tertunggak terhadap kakitangan mereka, perlu dibayar dan jika mereka boleh memenuhi dua syarat ini, baru kita boleh berbincang, jika tidak, tidak boleh, ketiga sudah pasti dari segi keselamatan", katanya dalam sidang media di sini.

Pada 12 Oktober tahun lepas, MYAirline mengumumkan penggantungan operasi berkuat kuasa hari yang sama atas alasan menghadapi tekanan kewangan.

Bagaimanapun, media melaporkan MYAirline Sdn Bhd memperoleh dan menandatangani perjanjian jual beli dengan pelabur dari Asia Barat pada akhir Disember 2023.

Jelas Loke, sekiranya mereka melaksanakan dua syarat terbabit, sebarang permohonan untuk menyambung semula operasi perlu mengikut prosedur ditetapkan termasuk syarat 51 peratus pegangan saham syarikat Malaysia.

Sementara itu, mengulas perkara berkaitan penemuan palam pintu dipercayai miliki pesawat Alaska Airline yang tertera perkataan ‘Made in Malaysia’, beliau tidak boleh memberi ulasan kerana tidak menerima sebarang maklumat.

Bagaimanapun, katanya jika terdapat permohonan rasmi daripada syarikat penerbangan berkenaan, pihaknya akan meminta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk menelitinya.

ROSLINA BINTI DIN