PUTRAJAYA, 12 Januari- Kementerian Pengangkutan tidak lagi melaksanakan pelancaran kempen keselamatan jalan raya pada setiap musim perayaan bermula tahun ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, berkata pendekatan baharu itu bagi membolehkan peruntukan tersebut dimanfaatkan secara langsung kepada rakyat dengan menambah baik kempen pendidikan keselamatan sedia ada.
"Operasi tidak berhenti, operasi tetap berjalan. Operasi bersepadu tetap berjalan, yang hanya kita tidak buat ialah majlis perasmian sahaja. Tiap tahun kita buat majlis perasmian. Tidak perlu rasmi-rasmi, laksanakan terus sahaja.
"Bermula tahun ini, semua musim perayaan, saya tidak akan buat, yang buat itu mungkin pihak swasta. Ada juga pihak swasta jemput saya, jika mereka buat, itu menggunakan bajet mereka", katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu Kementerian Pengangkutan di Putrajaya.
Katanya, langkah itu bagi menjimatkan kos penganjuran setiap majlis yang menelan belanja antara RM100,000 hingga RM200,000.