fb fb fb fb fb

Muzium Automobil Nasional ketengahkan revolusi automotif negara

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Azman Yusof melawat ruang pameran selepas merasmikan Semarak@MAN 2024 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang di sini hari ini/ BERNAMA

SEPANG, 11 Ogos- Muzium Automobil Nasional (MAN) memainkan peranan penting dalam mengetengahkan revolusi industri automotif yang menaikkan imej negara di mata dunia sekali gus memupuk rasa bangga dan patriotisme rakyat.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Azman Yusof berkata industri automotif tempatan berkembang pesat seiring dengan perubahan ekonomi, politik dan sosial negara sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

"Kalau kita lihat perkembangan industri permotoran dalam negara, ia secara tidak langsung beri impak positif kepada Malaysia.

"Contohnya, ia melonjakkan imej Malaysia di persada antarabangsa apabila kita menghasilkan kereta nasional Proton Saga dan rakyat Malaysia pula bangga menggunakan produk negara sendiri," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Semarak@MAN 2024 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Mohamad Shawali Badi dan Ketua Muzium Automobil Nasional, Safia Ismail.

Program Semarak@MAN bertemakan 'Muzium dan Permotoran' bertujuan untuk menyemarakkan peranan muzium dalam usaha menjalinkan kerjasama antara komuniti tempatan, kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan.

Program berlangsung selama dua hari bermula semalam itu bagi menyebarkan dan memberi kefahaman kepada masyarakat tentang peranan MAN, di samping membentuk minda generasi muda untuk lebih menghargai warisan negara.

Antara program yang disediakan adalah pameran permotoran melibatkan rakan strategik MAN iaitu Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Slot Kenali Muzium selain pameran koleksi kereta dan motor klasik.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI