fb fb fb fb fb

Musim kering: Kapasiti tiga empangan utama Pulau Pinang melebihi 90 peratus

Status memberangsangkan ini memberi petanda positif terhadap kedudukan bekalan air negeri menjelang Krismas dan Tahun Baharu 2026/ Foto PBAPP

GEORGE TOWN, 23 Disember - Tiga empangan utama di Pulau Pinang berada pada tahap optimum menjelang musim kering yang dijangka bermula bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K. Pathmanathan berkata, kesemua empangan itu mencatatkan kapasiti efektif melebihi 90 peratus berdasarkan bacaan setakat hari ini.

Ia didorong faktor jumlah taburan hujan yang tinggi di Kawasan Tadahan Air (KTA) empangan dari September hingga November, susulan musim Monsun Timur Laut.

"Buat pertama kali sejak 2017, kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang melebihi paras 90 peratus dengan bacaan hari ini menunjukkan Empangan Teluk Bahang pada tahap 98.9 peratus, Empangan Air Itam (93.4 peratus), manakala Empangan Mengkuang Diperbesarkan (92.2 peratus).

"Status memberangsangkan di tiga empangan utama negeri ini memberi petanda positif terhadap kedudukan bekalan air negeri menjelang sambutan Krismas, serta Tahun Baharu 2026," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu turut menyebut, peningkatan kapasiti efektif berkenaan turut disumbangkan oleh pelaksanaan beberapa inisiatif PBAPP, termasuk Pelan Tindakan Empangan Air Itam, mengepam air ke kawasan perkhidmatan Air Itam dan Farlim dari Loji Rawatan Air Sungai Dua bagi meminimumkan pelepasan, serta mengoptimumkan abstraksi air mentah dari muka sauk utama dan muka sauk tat.

Selain itu, PBAPP melaksanakan pengisian semula strategik Empangan Teluk Bahang berkapasiti 18,240 juta liter, dengan air mentah disalurkan dari KTA Batu Ferringhi dan KTA Sungai Pinang.

Beliau bagaimanapun berkata, taburan hujan di Pulau Pinang menunjukkan trend penurunan pada bulan ini dengan jangkaan musim kering bermula pada minggu kedua Januari 2026, manakala cuaca dijangka kering pada Februari dan Mac, iaitu ketika sambutan Thaipusam, Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.

Berikutan itu, PBAPP dijangka melakukan pelepasan air secara ketara di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang bagi menyokong keperluan air semasa musim perayaan, serta persediaan menghadapi peningkatan kehadiran tetamu luar dan pelancong.

MASNIZA AWANG KECHIK