fb fb fb fb fb

BKJ bantu ringankan beban

Foto RTM

JOHOR BAHRU, 23 Disember - Insentif khas RM500 melalui Bantuan Kasih Johor (BKJ) kepada penjawat awam Persekutuan bukan sahaja meringankan tekanan perbelanjaan, malah mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap bakti dan sumbangan golongan berkenaan.

Tinjauan di Jabatan Penyiaran Negeri Johor mendapati rata-rata penjawat awam mengakui, bantuan itu juga bersesuaian dengan keperluan kewangan menjelang musim kemasukan persekolahan.

Menurut Penolong Jurutera, Nurmawati Mukhtar, pemberian bantuan itu akan dimanfaatkan untuk pembelian pakaian dan alat persekolahan anak-anak.

"Terima kasih Kerajaan Johor yang prihatin terhadap semua penjawat awam tanpa kira dari Persekutuan ataupun negeri. Kami semua mendapat manfaat sama rata.

"Dengan bantuan awal RM300 ini dapatlah membantu anak-anak saya yang akan naik sekolah dan juga perbelanjaan tinggi semasa musim cuti persekolahan ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Faizal Mohamad Repaie yang juga Penolong Jurutera di Jabatan Penyiaran Negeri Johor berpendapat ia sebagai suntikan kegembiraan buat ibu bapa.

"Bantuan RM300 bagi fasa pertama, sememangnya dapat bantu saya membayar yuran persekolahan anak-anak saya. Ianya mencukupi walaupun tidak mewah.

"Saya berharap pemberian fasa kedua nanti akan diteruskan dengan lancar, selain berharap bantuan seumpama diteruskan setiap tahun," katanya.

Terdahulu, kerajaan Johor mengumumkan insentif khas memanfaatkan 140,185 penjawat awam Persekutuan melalui Belanjawan Johor 2026, dengan peruntukan RM70.1 juta.

Fasa pertama BKJ 2025 disalurkan mulai bulan ini, manakala fasa kedua dijadualkan pada Februari 2026, melengkapkan jumlah keseluruhan RM500.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID