MAKKAH, 15 Julai- Musim haji 2022 dianggap yang terbaik pernah dilaksanakan oleh Tabung Haji (TH).
Ini kerana kesemua jemaah haji Malaysia berjaya melengkapkan kesemua rukun dan wajib haji seperti yang ditetapkan.
Paling menggembirakan TH, kesemuanya melaksanakan wukuf di Arafah, termasuk pesakit-pesakit di hospital menerusi program Safari Wukuf.
Ketetapan syarat yang dikenakan kerajaan Arab Saudi juga tidak menjejaskan urusan jemaah meskipun pengumuman mengenainya dilakukan pada Ramadan, tidak seperti sebelum ini 10 bulan lebih awal.
Malah kawalan jemaah yang lebih ketat, membolehkan semua ibadah selesai mengikut perancangan tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
"Tabung Haji telah membuat persediaan untuk melaksanakan urusan haji ini dengan mengambil kira keperluan kesihatan para jemaah haji, daripada mula melaporkan diri dari stesen berlepas di Malaysia hingga selesai ibadah haji semasa operasi masyair iaitu di Arafah, Muzdalifah dan Mina," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
(Idris Ahmad)
Bilangan pesakit yang menerima rawatan juga jauh lebih rendah dari musim sebelum ini iaitu 62 orang manakala meninggal dunia hanya seorang.
Tabung Haji juga kata Idris akan sentiasa berikhtiar membantu meringankan beban jemaah berikutan kos mengerjakan haji yang semakin meningkat.
"Keadaan inflasi yang berlaku di seluruh dunia sememangnya membimbangkan saya sebagai menteri yang bertanggungjawab atas urusan ibadah haji.
"Namun kita juga perlu menerima realiti kenaikan kos yang berlaku setiap tahun dan pada masa yang sama juga TH perlu mencari jalan supaya semakan bayaran haji tidak akan membebankan bakal haji Malaysia," jelas Idris.
Sebaik kesemua jemaah pulang ke tanah air, TH akan terus merancang untuk persiapan awal bagi musim haji 2023, di samping mempertingkat dan menambah baik perkhidmatan demi kesejahteraan jemaah negara.
Penerbangan pertama kepulangan jemaah Malaysia adalah pada 17 Julai manakala yang terakhir dijangka 12 Ogos.
Laporan Faisal Jamal.