KUALA NERUS, 1 November- Seorang murid Tahun Lima maut dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Kampung Panchur Kuin dekat Padang Kemunting Kuala Nerus pagi tadi.
Kemalangan kira-kira pukul 8.25 pagi itu menyebabkan mangsa, Syed Iman Thaqif Syed Ahmad Rasullan, 11 tahun yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata kemalangan berlaku apabila Perodua Aruz dinaiki mangsa dan sebuah lagi kereta jenis Honda dari arah Kampung Titian Baru menghala ke Kota Bharu.
Ketika tiba di lokasi kejadian secara tiba-tiba sebuah Proton Wira hilang kawalan lalu terlanggar sebuah lori yang dipandu dari arah bertentangan.
Lori berkenaan terbabas dan melanggar kereta Perodua dan Honda berkenaan.
Akibat pelanggaran itu, mangsa yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Atas Tol, Marang cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata, mangsa yang beralamat di Kampung Paya Resak, Bukit Payong telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut.
Tujuh lagi mangsa yang menaiki Perodua Aruz termasuk pemandu telah dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.
Turut menerima rawatan ialah pemandu lori yang dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan seorang penumpang yang sakit pada bahagian dada.
Selain itu, dua pemandu dan enam penumpang menaiki dua lagi kenderaan yang terlibat dalam kemalangan iaitu kereta Proton dan Honda tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987