fb fb fb fb fb

Murid tahun enam maut disambar petir ketika guna telefon bimbit

GUA MUSANG, 16 Ogos- Seorang murid tahun enam maut selepas dipercayai disambar petir ketika sedang bercakap menggunakan telefon pintar dengan rakannya di Kampung Baru Sungai Raya Luar di sini, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.50 petang itu menyebabkan mangsa, Nur Asyqin Qistina M. Nor Zawawi, 12 tahun yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis ditemui terbaring di atas tilam bilik tidurnya dengan kesan terbakar di bahagian lengan.

Menurut bapa mangsa, M. Nor Zawawi Awang, 54, ketika kejadian, dia baharu selesai solat Asar di surau hadapan rumahnya sebelum terdengar bunyi dentuman petir yang kuat.

"Isteri datang memaklumkan bekalan elektrik di rumah terputus. Saya pulang ke rumah dan memeriksa kerosakan sebelum kembali ke surau. Tidak lama kemudian isteri datang memaklumkan anak saya ditemui tidak sedarkan diri.

"Sebaik tiba di rumah, saya lihat Nur Asyqin Qistina sudah tidak sedarkan diri dan terdapat kesan terbakar pada tangan kanan dan tilam selain terdapat telefon bimbit berhampiran.

"Dia mungkin kena panah petir ketika menggunakan telefon bimbit berdasarkan kesan terbakar di tangan selain telefonnya juga rosak.

Nur Asyqin Qistina M. Nor Zawawi

"Apa yang berlaku sangat mengejutkan kami sekeluarga namun kami reda dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang, di sini, hari ini.

Tambahnya, mayat anaknya dibawa ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat sebelum proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kuala Betis.

Media Baharu