(FOTO AFP)
KUALA LUMPUR, 10 Mac - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan terhadapnya dan memohon untuk dibicarakan.
Beliau berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan berhubung pengubahan wang haram.
Untuk pertuduhan pertama berkaitan salah guna kuasa, pada 8 Februari 2021 dan 25 Februari 2021, beliau didakwa menggunakan kedudukan untuk satu suapan wang berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn. Bhd.
Pada Mac 2020 dan 20 Ogos 2021, beliau didakwa menerima suapan wang berjumlah RM1 juta dari syarikat Nepturis Sdn. Bhd.
Pada 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021, beliau didakwa menerima suapan wang berjumlah RM19.5 juta dari syarikat Mamfor Sdn. Bhd.
Bagi pertuduhan salah guna kuasa keempat, pada tarikh sama beliau menerima suapan iaitu wang berjumlah RM12 juta daripada Azman Yusoff.
(Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadapi empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan
berhubung pengubahan wang haram/AFP)
Keempat-empat pertuduhan salah guna kuasa itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri.
Manakala, bagi pertuduhan pengubahan wang haram antaranya pada 25 Februari 2021 dan 16 Julai 2021, di CIMB Bank Cawangan Menara KL, beliau didakwa telah menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM120 juta dari Bukhary Equity Sdn. Bhd., yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Bagi pertuduhan kedua pengubahan wang haram pada 8 Februari 2022 dan 8 Julai 2022, di lokasi sama Presiden BERSATU itu menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM75 juta daripada Bukhary Equity Sdn. Bhd., yang juga dimasukkan dalam akaun bank sama milik parti berkenaan.
Bagi kesemua pertuduhan tersebut, Muhyiddin perlu diikat jamin RM2 juta dengan dua orang penjamin warga tempatan bukan dari kalangan ahli keluarga dan perlu menyerahkan pasport antarabangsa miliknya kepada mahkamah.
Pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi. Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Mei depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.