SHAH ALAM, 12 Februari- Muafakat Indonesia dan Malaysia perlu merangkumi lebih daripada sekadar kerjasama ekonomi, termasuk memperkukuh keselamatan siber yang dipertingkatkan, usaha memerangi keganasan dan keselamatan maritim di rantau Indo-Pasifik, kata Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
"Indonesia dan Malaysia perlu memperdalam mekanisme perkongsian risikan, meningkatkan keupayaan pertahanan siber, dan mengukuhkan inisiatif keselamatan maritim bersama bagi melindungi laluan perdagangan penting, khususnya di Selat Melaka.
"Kerjasama teknologi pertahanan, termasuk kemajuan dalam sistem pertahanan dipacu kecerdasan buatan (AI) dan teknologi dron, akan menjadi aspek penting dalam memastikan kestabilan serantau," katanya dalam ucapan perasmiannya pada sesi GlobalMADANIInteract, yang diadakan sempena lawatan kerja Naib Menteri Luar Indonesia Arif Havas Oegroseno di sini, Rabu.
Shamsul Iskandar berkata peningkatan penyebaran maklumat salah dan propaganda digital memerlukan program celik media dan mekanisme kawal selia yang lebih kukuh untuk menentang berita palsu dan maklumat yang mengelirukan.
Sebagai rakan ekonomi, Indonesia dan Malaysia perlu menggalakkan literasi digital, inovasi dan kesalinghubungan di seluruh ASEAN, untuk memastikan tiada negara atau komuniti yang ketinggalan dalam peralihan ke arah digital.
Beliau berkata inisiatif seperti Rangkaian Bandar Pintar ASEAN, perjanjian perdagangan digital dan daya tahan rantaian bekalan dalam industri utama - termasuk semikonduktor, minyak sawit dan bateri kenderaan elektrik - akan menjadi kunci untuk mengukuhkan asas ekonomi kedua-dua negara.
"Pelaburan bersama dalam syarikat pemula dan teknologi baru muncul akan meningkatkan lagi daya saing serantau dalam ekonomi digital," katanya.
Shamsul Iskandar juga menyeru ASEAN untuk bersatu dalam menangani ancaman siber yang semakin meningkat, pengintipan digital dan cabaran geopolitik yang boleh menjejaskan kemajuan serantau.
Beliau berkata transformasi digital menawarkan peluang besar untuk pengembangan ekonomi, daripada teknologi kewangan (fintech) dan industri berasaskan AI hingga ekonomi digital dan teknologi hijau, justeru ASEAN perlu memastikan rangka kerja peraturannya menyokong pertumbuhan inklusif serta membolehkan perniagaan dan usahawan berkembang maju.
Beliau menambah bahawa platform e-dagang rentas sempadan seperti Shopee, Lazada dan Tokopedia sedang memacu integrasi ekonomi, sementara peningkatan teknologi kewangan serta sistem pembayaran digital - seperti Touch ‘n Go di Malaysia dan GoPay di Indonesia - mencerminkan potensi transaksi ekonomi tanpa sempadan di ASEAN.
Menurut Shamsul Iskandar, ASEAN boleh menjangkakan kerjasama digital dan teknologi yang dipertingkatkan - termasuk pengukuhan undang-undang keselamatan siber, tadbir urus AI serta perjanjian perdagangan digital - bagi menyokong pengembangan ekonomi digital yang lebih lancar di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata ASEAN juga boleh mengharapkan dasar yang lebih berpaksikan rakyat, dengan memastikan polisi ekonomi yang mengutamakan pertumbuhan saksama, keterangkuman digital dan pemerkasaan belia di seluruh rantau ini.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama digital dan teknologi, termasuk kawal selia keselamatan siber serta tadbir urus AI bagi menyokong ekonomi digital ASEAN.
“...masa depan ASEAN bergantung pada keupayaan kita untuk menyesuaikan diri, berinovasi dan bekerjasama. Muafakat antara Indonesia dan Malaysia mesti menjadi asas kepada kekuatan serantau, dan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerajui ASEAN, kita mesti memperjuangkan keadilan ekonomi, transformasi digital dan kestabilan keselamatan,” katanya.- BERNAMA