MARANG, 14 November - Lapan lokasi kawasan berisiko banjir dikenal pasti di sepanjang laluan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) ketika Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.
Pengurus Wilayah LPT2, Mohamad Pazli Kasim berkata tiga lokasi berisiko itu berada di dalam kawasan lebuh raya iaitu di Persimpangan Bertingkat Bukit Besi dan Kilometer 373 di kedua-dua arah berhampiran Ajil, Hulu Terengganu.
"Lima lagi lokasi yang dikenal pasti berisiko dinaiki air adalah di laluan keluar selepas Plaza Tol Cukai dan Plaza Tol Bukit Besi. Manakala tiga lokasi di luar kawasan lebuh raya.
"Justeru pengendali LPT2 sentiasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir berlaku sepanjang musim MTL," katanya kepada media pada Program Hari Komuniti MyPlus 2024 di sini hari ini.
Langkah awal telah diambil dengan membina tembok penahan banjir di dua lokasi pernah berlaku tanah runtuh pada musim tengkujuh sebelum ini.
Selain itu penanda aras banjir juga telah dipasang terutama di lokasi berisiko selain pemantauan cerun dan saliran LPT 2 secara berkala.
Pihaknya juga menyediakan pelan mitigasi termasuk menyediakan laluan kontra sekiranya lokasi terlibat terjejas banjir dan lintasan air kelak.
Sebarang maklumat terkini juga akan disalurkan kepada pengguna LPT2 menerusi pelbagai medium media sosial.