KUALA LUMPUR, 24 Jun- Penggunaan Sistem Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR Trace) kini menjadi sebuah platform digital penting dalam menjejak rantaian bekalan getah asli negara, sekali gus memastikan aspek ketelusan, kemampanan dan akauntabiliti dalam pengeluaran komoditi itu.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata sistem MSNR Trace merangkumi integrasi beberapa platform digital dalaman Lembaga Getah Malaysia (LGM), antaranya RRIM Geo Rubber, RRIMniaga dan MyLesen.
Sistem itu juga membantu menangani isu alam sekitar dan sosial dalam industri getah dengan membolehkan semua pihak berkepentingan menjejak perjalanan getah mentah, bermula dari ladang sehinggalah ia menjadi produk akhir.
"MSNR Trace merupakan satu sistem untuk menjejak "trace pack" dalam keseluruhan rantaian bekalan getah asli. Ia berfungsi sebagai platform digital yang mengintegrasikan beberapa sistem sedia ada seperti RRIMniaga, RRIM Estate dan lain-lain, yang kini disatukan di bawah satu sistem iaitu MSNR Trace.
Sistem MSNR Trace telah diwajibkan ke atas semua pedagang dan kilang memproses getah bermula pada 5 Mei tahun ini. Penggunaan sistem tersebut juga telah dijadikan sebagai salah satu syarat lesen yang wajib dipatuhi oleh semua pemegang lesen di bawah Lembaga Getah Malaysia (LGM)," kata Chan selepas melancarkan sistem MSNR Trace, di sini, hari ini.
Tambah beliau, pelaksanaan sistem tersebut dilihat sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan akses pasaran getah Malaysia ke Kesatuan Eropah (EU).
Pada tahun 2024, nilai eksport getah dan produk getah Malaysia ke Kesatuan Eropah telah mencapai RM4.91 bilion, iaitu 15.6 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport getah asli dan produk getah negara yang bernilai RM31.57 bilion.
Dengan teknologi dan inovasi seperti MSNR Trace, Malaysia bersedia untuk menjadi peneraju global dalam pengeluaran getah asli dan produk getah berkualiti tinggi.