fb fb fb fb fb

MSN Kelantan kerjasama dengan SUKMA, kenal pasti fasiliti naik taraf

KOTA BHARU, 29 Mac- Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan bersama Sekretariat Sukan Malaysia (SUKMA) Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan telah mengenal pasti 12 lagi fasiliti untuk dinaik taraf sebagai persiapan negeri itu menjadi tuan rumah pada 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan NGO, Wan Roslan Wan Hamat berkata pihaknya juga turut mengenal pasti beberapa fasiliti sukan yang sesuai untuk dibangunkan untuk pusat latihan sebagai persiapan atlet dalam menghadapi temasya dwi-tahunan itu.

"Setakat ini, dua pusat latihan telah siap dinaik taraf iaitu Dewan Gimnasium Kompleks Sekolah Wakaf Mek Zainab dan Pusat Skuasy Kompleks Sekolah Wakaf Mek Zainab manakala Dewan Badminton Jabatan Kerja Raya (Pusat Latihan Badminton Persatuan Badminton Negeri Kelantan) dan Dewan Badminton Tengku Anis Pengkalan Chepa sedang giat dinaik taraf," kata Wan Roslan ketika menjawab soalan Adun Kok Lanas, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, di sini.


(Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat menjawab soalan
Adun Kok Lanas pada Persidangan DUN Kelantan hari ini)

Mengulas lanjut, Wan Roslan berkata untuk persiapan atlet, program Talent Identification (TID) telah dilaksanakan oleh MSN di jajahan Kota Bharu dan Tumpat bagi mengenalpasti bakat-bakat baharu untuk diserapkan dalam program latihan atlet berprestasi tinggi.

Langkah berkenaan di buat untuk memastikan sasaran sekurang-kurangnya menduduki lima tempat terbaik di SUKMA Kelantan 2026 menjadi kenyataan.

Semalam, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-5 ketika bertitah dalam Titah Ucapan Diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Persidangan DUN Kelantan ke-14 berharap dapat melihat Kelantan menjadi lima kontinjen terbaik ketika negeri itu menjadi tuan rumah temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2026.

Media Baharu