fb fb fb fb fb

100 buah dron diguna bantu tingkatkan produktiviti sektor pertanian di Kelantan

KOTA BHARU, 29 Mac- Sebanyak 100 buah dron digunakan di Kelantan untuk memperkasa serta meningkatkan produktiviti sektor pertanian di negeri ini selaras perkembangan Revolusi Industri 4.0.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata penggunaan dron sangat membantu petani terutama yang berskala besar untuk pembajaan dan meracun dengan lebih berkesan sekali gus dapat mengurangkan penggunaan tenaga kerja serta menjimatkan kos.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 80 buah dron adalah dibawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) manakala selebihnya adalah milik Jabatan Pertanian, Kumpulan Pertanian Kelantan selain beberapa individu pesawah dan petani yang mengusahakan pertanian dalam skala yang besar," kata beliau ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kota Darulnaim, di sini.


(Gambar Fail)

Mengulas lanjut, Tuan Mohd Saripudin berkata bagi memantapkan lagi penggunaan dron dalam kalangan petani dan pesawah pihaknya telah melakukan beberapa siri kursus pengendalian dron termasuk memberi khidmat nasihat kepada mereka yang berkenaan.

Selain itu pihaknya juga telah melakukan libat urus dengan syarikat Aerodyne iaitu syarikat dron yang ketiga terbesar di dunia untuk memperkenalkan sistem dron dengan lebih menyeluruh dalam pelbagai sektor terutamanya pertanian.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan setakat ini kerajaan negeri hanya mengimport hasil pertanian sekitar 40% sahaja secara tidak langsung menggambarkan sektor pertanian di negeri itu mempunyai masa depan yang cerah.

"Kerajaan negeri kini giat menggalakkan golongan belia yang celik IT untuk menceburi sektor pertanian bukan sahaja untuk memenuhi permintaan domestik bahkan juga untuk melahirkan lebih ramai petani moden," tambahnya.

Media Baharu