fb fb fb fb fb

5,000 gerai bazar Ramadan di 72 lokasi di ibu negara mula beroperasi Ahad ini

(SHAHIDAN (dua, kanan) melawat tapak penyusunan penjaja di Jalan Dungun dan
Jalan Gelenggang, Bukit Damansara/FOTO BERNAMA)


KUALA LUMPUR, 29 Mac- Sebanyak 72 lokasi bazar Ramadan membabitkan 5,000 gerai akan beroperasi di sekitar ibu kota sepanjang bulan Ramadan dijangka bermula Ahad ini. 

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, bagi bazr Ramadan tahun ini, pengoperasian bermula sekitar 3 petang hingga 8 malam. 

"Kami menyasarkan penglibatan lebih 10,000 sukarelawan atau 'duta komuniti' bertujuan memantau, memberi peringatan, nasihat dan teguran berkaitan pematuhan SOP bagi mengekang penularan COVID-19. 

"Walaupun selepas 1 April kita telah masuk fasa peralihan ke endemik, kita mahu mengingatkan masyarakat agar sentiasa menjaga penjarakan dan SOP (prosedur operasi standard) lain.

"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga mengenal pasti dan mewujudkan beberapa lokasi strategik bagi penyusunan penjaja di sekitar ibu negara bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan secara berpusat, lebih sistematik dengan ruangan lebih kondusif.

"Penyusunan semula penjaja ini akan diperkenalkan di seluruh kawasan di Kuala Lumpur, paling penting kita hendak pastikan penduduk sekitar tidak terganggu dengan kehadiran penjaja yang mahu mencari rezeki," katanya kepada pemberita ketika melawat tapak penyusunan penjaja di Jalan Dungun dan Jalan Gelenggang di sini hari ini

Shahidan berkata pelaksanaan program tersebut akan dijalankan secara berfasa  dengan memberi tumpuan kepada lokasi khas penjaja dalam bandar mengikut keutamaan.

Katanya, program penyusunan semula penjaja itu juga mendapat kerjasama badan bukan berkanun (NGO) yang memberi kelebihan kepada penjaja antaranya kanopi percuma dan diskaun sewaan tapak.

(72 lokasi bazar Ramadan membabitkan 5,000 gerai akan beroperasi di sekitar ibu kota
sepanjang bulan Ramadan dijangka bermula Ahad ini/FOTO BERNAMA)

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Shahidan berkata, bilik gerakan bencana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, (DBKL) dengan kerjasama pelbagai kementerian dan pihak swasta sentiasa memantau situasi semasa di ibu negara terutama melibatkan kejadian tanah runtuh dan banjir.

"Pengurusan bencana di Wilayah ini bukan sahaja kita ada sukarelawan, ada jawatankuasa tetapi kita juga ada pegawai kanan yang bersama-sama uruskan bencana di masa yang sama kita lantik di peringkat zon dan sub zon.

"Kita tambah lagi lima sub zon untuk membolehkan sama-sama memantau ,membantu rakyat dan membela rakyat," katanya selepas menjadi tetamu Bicara Naratif di Angkasapuri.

Selain itu, 4 ribu kamera litar tertutup CCTV turut dipasang di kawasan tumpuan di ibu negara.

Media Baharu