fb fb fb fb fb

Perdana Menteri di beri sambutan rasmi di Amiri Diwan Qatar

DOHA, 29 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di beri sambutan rasmi di Amiri Diwan Qatar.

Beliau yang kini dalam lawatan rasmi ke Doha, tiba pada pukul 11 pagi waktu tempatan disambut Amir Qatar, Sheikh Tamim Hamad al-Thani.

Sejurus tiba, Perdana Menteri bersama Sheikh Tamim menuju ke perbarisan kawalan kehormat dan kemudian lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Datuk Seri Ismail Sabri bersama Sheikh Tamim kemudiannya memeriksa barisan kawalan kehormat dibarisi Pengawal Istiadat Amiri.

 

(Perdana Menteri diiringi Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani
ketika membuat pemeriksaan kawalan kehormat Pengawal Istiadat Amiri)

Amiri Diwan adalah dewan pemerintahan Negara Qatar. Ia adalah badan berdaulat dan pejabat pentadbiran Amir Qatar.

Ini merupakan lawatan pertama Datuk Seri Ismail Sabri ke Qatar selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

Selepas upacara sambutan itu, kedua-dua pemimpin menuju ke balai menghadap yang turut disertai delegasi Malaysia.

Delegasi Malaysia termasuk Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup dan Duta Besar Malaysia ke Qatar Zamshari Shaharan.

Sementara itu, Malaysia dan Qatar bersetuju untuk mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 secara timbal balas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah berkenaan akan memudahkan perjalanan rakyat kedua-dua negara, seiring pembukaan sempadan.

"Kita bersetuju saling mengiktiraf sijil vaksinasi dan kita juga bersetuju integrasi aplikasi Ehteraz dan MySejahtera," katanya ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Amir Qatar, Sheikh Tamim Hamad al-Thani pada hari terakhir lawatan rasminya.

Malaysia juga merakamkan penghargaan kepada Qatar yang telah memberi kemudahan vaksinasi percuma kepada lebih 4,500 rakyat Malaysia yang bermastautin di Qatar.

Malah negara turut memberi kemudahan sama kepada rakyat Qatar di Malaysia.

Perdana Menteri akan mengadakan sidang media bersama media Malaysia di Hotel St Regis sebelum berlepas ke Dubai hari ini.

Media Baharu