KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memperkenalkan garis panduan artikulasi antara program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan program akademik bukan TVET.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata inisiatif itu, bertujuan membolehkan graduan TVET melangkah ke peringkat akademik tertinggi tanpa halangan struktur, sekali gus membolehkan mereka mencapai pendidikan tahap Sarjana dan Kedoktoran.
“Saya mengucapkan terima kasih MQA, telah bersetuju meluluskan Master of Professional Practice dan Doctor of Professional Practice pada Aras 7 dan 8 dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).
“Inilah pemangkin perubahan. Ia mencerminkan komitmen kami untuk melahirkan bakat yang sangat berkebolehan dan bertaraf dunia. Kita komited menyediakan laluan TVET yang setaraf dan setanding dengan bidang akademik lain tanpa kompromi kualiti dan kelayakan dalam bidang akademik.
“Tujuannya melahirkan graduan yang diiktiraf di semua sektor industri, sama ada di dalam negara atau di pentas antarabangsa,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) 2025 di ibu negara.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.
Program Artikulasi merupakan laluan pendidikan untuk lulusan Persijilan Kemahiran Malaysia bagi melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Sementara itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata kerajaan sedang meminda Akta 652 bagi mengiktiraf tahap kepakaran tinggi dalam bidang pendidikan TVET, sekali gus mewujudkan laluan kemajuan setara dengan bidang akademik.
Langkah itu disifatkan sebagai lonjakan bersejarah yang akan mengangkat TVET ke mercu kecemerlangan baharu.
"Dengan 1,398 institusi, puluhan ribu tenaga pengajar, dan ratusan ribu pelajar aktif, ekosistem TVET Malaysia kini bukan sekadar pelengkap dasar. Ia sudah menjadi nadi utama pembangunan negara," katanya.