fb fb fb fb fb

MOT arah APAD siasat syarikat naik tambang bas ekonomi

Anthony Loke Siew Fook/ BERNAMA

JERANTUT, 18 Mac- Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyiasat syarikat bas ekspres kategori ekonomi yang didakwa menaikkan tambang secara mendadak menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kenaikan tambang bas ekspres ke Pantai Timur sehingga dua kali ganda, mencecah hampir RM120 berbanding RM40 sebelum musim perayaan.

Menurut Anthony kadar tambang bagi bas kategori ekonomi adalah dikawal kerajaan, manakala bas eksekutif bergantung kepada permintaan dan penawaran.

Beliau menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat bas yang menaikkan tambang secara tidak munasabah termasuk meneliti kadar tambang bas eksekutif dan jika kenaikannya didapati terlalu tinggi, kementerian akan mengambil tindakan yang sewajarnya.  

"Tambang tidak naik, banyak kali nyatakan ada dua jenis bas. Ada bas ekonomi dan ada bas eksekutif. Kalau bas eksekutif itu, tambang kerajaan tidak kawal. Dia boleh ada kenaikan.

"Tetapi kalau bas ekonomi, memang kerajaan kawal harga. Jadi ia tidak boleh boleh naik sesuka hati. Namun perkhidmatan bas eksekutif pun kita akan lihat sekiranya naik keterlaluan, kita akan ambil tindakan. Jadi perkara ini saya akan rujuk kepada pihak APAD untuk menyiasat syarikat ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di sini.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan turut mengenal pasti premis kerajaan negeri yang kosong untuk dijadikan pejabat cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di setiap daerah.

Langkah tersebut bertujuan memudahkan urusan pelesenan dan cukai jalan bagi penduduk yang berada di luar bandar.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI