BAYAN LEPAS, 18 Mac- Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan serangan udara Israel di utara Gaza yang mengorbankan lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan itu melanggar asasi kemanusiaan selain mencetuskan keganasan berterusan di Gaza dan bahagian lain di Palestin.
Serangan kira-kira pukul 1.30 tengah hari waktu tempatan pada Sabtu lalu, berlaku ketika mereka sedang mendirikan khemah bagi menempatkan keluarga pelarian yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik berterusan di wilayah tersebut.
"Kita mengutuk keras pembunuhan dan kezaliman ke atas sukarelawan MAPIM yang bertugas untuk kemanusiaan membantu pesakit dan sebagainya.
"...dan kerajaan secara rasmi mengeluarkan bantahan keras terhadap keganasan berterusan yang dilakukan rejim Zionis Israel," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Pulau Pinang di pejabat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini.
Petugas kemanusiaan yang terkorban dalam nahas serangan udara Israel ialah Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad.
Semalam Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim mengesahkan lapan pekerja Palestin itu syahid dalam serangan berkenaan.
Dalam pada itu pada mesyuarat berkenaan beliau turut memberi penekanan kepada usaha membaik pulih serta membina sekolah baharu di Pulau Pinang selain beberapa lagi projek penting yang akan memberikan kebaikan dan keselesaan buat rakyat.
"Besar harapan agar setiap kementerian dan agensi berkaitan memberi perhatian khusus dan bertindak segera bagi memastikan kelancaran perancangan dan pelaksanaan projek-projek di Pulau Mutiara ini secara berkesan," katanya.
Inisiatif pembangunan berkenaan penting untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya penduduk miskin bandar dan penduduk luar bandar yang bakal menikmati manfaat jangka panjang.