KOTA TINGGI, 22 Januari- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memperhalusi dan meneliti garis panduan sedia ada bagi penggunaan dron atau kenderaan tanpa
pemandu (UAV) di negara ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ianya akan diselaras dan dibincang bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)
dan pihak berkaitan pengoperasian dron.
Adham berkata, industri teknologi dron menyumbang kepada ekonomi negara dan turut memberi nilai tambah kepada masyarakat khususnya generasi muda.
"Kita bangunkan tapak pengujian dron di tiga lokasi ini supaya kita dapat lihat cabaran dan juga usaha yang perlu dipertingkatkan dari
semasa ke semasa".
"Selain itu perlu tahu juga sama ada beroperasi diguna untuk perniagaan, pemantauan atau pengawasan:, katanya selepas Majlis Pelancaran Pembangunan Kerjaya Dron
Generasi Muda Malaysia di Bandar Tenggara, di sini.
Terdapat tiga pusat pengujian dan penyelidikan teknologi dron iaitu di Area 57, Taman Teknologi Malaysia di Bukit Jalil, zon dron dan robotik Iskandar (DRZ Iskandar) di Medini,
Johor dan Felda Mempaga di Pahang.
MOSTI turut menyasarkan 1,000 juruterbang kawalan dron untuk dilatih sejajar perkembangan teknologi Dasar Revolusi Perindustrian Ke-4 (4IR) seterusnya menempatkan mereka ke dalam
projek industri dalam dan luar negara.
10 Januari lalu, CAAM mengeluarkan Siji Kelulusan (COA) kepada Akademi UAV Asia Sdn Bhd dan Kumpulan Air Asia Bhd sebagai Organisasi Latihan Juruterbang Kawalan Jauh (ATO-RPTO).
Organisasi ATO-RPTO berfungsu menilai keupayaan juruterbang kawalan jauh terhadap set khusus keperluan dan isu yang berkaitan dengan sijil.
Kenyataan oleh CAAM menyebut, dengan peningkatan jumlah ATO-RPTO di Malaysia dan lebih ramai juruterbang kawalan jauh diberikan sijil, satu kerangka kerja perundangan dan kurikulum standard yang diluluskan akan memberikan keyakinan tambahan kepada organisasi dan industri untuk menambah pelaburan ke dalam teknologi dron.