fb fb fb fb fb

MOSTI kenal pasti lima perspektif ekosistem teknologi

Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Arthur Joseph Kurup

KUALA LUMPUR, 15 November- Lima perspektif utama telah dikenal pasti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam membangunkan ekosistem teknologi bahan termaju.

Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata ia itu termasuk unsur nadir bumi (REE) melalui pembiayaan dan kewangan, pembangunan infrastruktur, penetapan peraturan dan penggubalan dasar, peningkatan kemahiran dan pengembangan bakat serta pembangunan teknologi.

Tambahnya, Penubuhan Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Nasional (NAMC) turut bertindak sebagai hab perhubungan untuk pembangunan perniagaan, mewujudkan rangkaian dan libat urus di antara pemegang taruh. 

"Unsur nadir bumi (REE) telah dikenal pasti sebagai salah satu bahan termaju yang akan memberi potensi pasaran kepada pemain industri selain daripada grafen, nitinol dan polimer selulosa berhablur mikro. Ini adalah kerana saiz pasaran REE global telah mencecah AS$5.6 bilion pada tahun 2021.

Permintaan kepada kenderaan elektrik yang memerlukan penggunaan unsur nadir bumi bagi menghasilkan magnet menyebabkan lonjakan kepada keperluan unsur berkenaan," kata Arthur di Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Wakil Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed yang ingin mengetahui sejauh mana NAMC yang dilancarkan membantu perancangan Kerajaan memanfaatkan sumber unsur nadir bumi (REE) dalam negara.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM