fb fb fb fb fb

MRT Corp dan Prasarana perlu serius tangani insiden kelewatan MRT laluan Putrajaya

Menteri Pengangkutan Anthony Loke

PUTRAJAYA, 15 November - Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) perlu memberi perhatian serius terhadap insiden gangguan bekalan kuasa yang menjejaskan perkhidmatan MRT laluan Putrajaya, semalam.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, pihak terlibat bagaimanapun telah diminta mengemukakan laporan penuh bagi mengenal pasti punca sebenar berlakunya insiden terbabit.

"Kita memang rasa amat dukacita kerana laluan Putrajaya ini baru dibuka, tidak sampai pun setahun, jadi gangguan ini ataupun masalah teknikal ini mesti diberikan perhatian serius oleh pihak MRT Corp dan pihak Prasarana.

"Dan laporan penuh telah pun diminta oleh pihak kita kepada pihak prasarana untuk kemukakan kepada pihak kementerian dalam mesyuarat post cab nanti," Anthony bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Sinaran Kasih Madani dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini.

Jelasnya lagi, perkara itu akan dirujuk semula dengan pihak kontraktor pembinaan MMC Gamuda memandangkan perkhidmatan laluan Putrajaya masih berada dalam tempoh liabiliti kecacatan.

Semalam, perkhidmatan MRT laluan Putrajaya mengalami kelewatan jadual perjalanan akibat gangguan bekalan kuasa di antara Stesen Conlay dan Stesen Chan Sow Lin.

Gangguan itu telah menyebabkan dua buah tren yang berada di kawasan berkenaan tidak dapat beroperasi kerana terputus bekalan kuasa di kawasan tersebut.

Dalam pada itu Anthony berkata, kementeriannya sedia mempertimbangkan untuk melakukan semakan semula hukuman denda bagi kesalahan memandu bawah umur.

Pihaknya akan mendapatkan maklum balas awam dan badan bukan kerajaan (NGO) sebelum penambahbaikan akta tersebut dibuat.

"Undang-undang sedia ada, apa sahaja yang pernah didapati yang dibenarkan bawah undang-undang semasa, itu adalah maksim yang boleh kita denda. Tetapi sudah tentu kami akan melakukan semakan semula dari semasa ke semasa terhadap undang-undang sedia ada," katanya.

Beliau mengulas mengenai hukuman denda yang diperuntukan bawah Seksyen 26(1) APJ yang dikatakan terlalu ringan.

Akta tersebut memperuntukkan hukuman denda minimum RM300 hingga RM2,000 atau penjara hingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ahad lepas, dilaporkan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang memandu kereta milik ibunya sebelum terbabit kemalangan yang menyebabkan dua kematian di Kilometer 1.9 Jambatan Pulau Pinang menuju arah Perai.

TETITIA YUSOFF