fb fb fb fb fb

Monsun Timur Laut: Petani di Perak digesa lapor segera kerosakan tanaman

Foto Hiasan/BERNAMA

IPOH, 14 Oktober – Petani dan pesawah di Perak yang berisiko terjejas akibat Monsun Timur Laut digesa segera melaporkan sebarang kerosakan tanaman kepada jabatan atau agensi berkaitan bagi membolehkan bantuan disalurkan dengan cepat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun, berkata laporan rasmi daripada golongan sasar amat penting bagi membolehkan bantuan disalurkan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi dan Tabung Bencana Pertanian.

Beliau berkata, beberapa daerah seperti Perak Tengah, Hilir Perak, Manjung dan Kuala Kangsar dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi yang sering mengalami banjir serta kerosakan tanaman semasa musim tengkujuh.

 
“Kerajaan negeri sudah bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut dengan pelan tindakan di peringkat negeri dan daerah, termasuk penyelarasan antara jabatan serta agensi bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Hari Anugerah Pengembangan Jabatan Pertanian Negeri Perak 2025 di Ipoh, yang menghimpunkan lebih 200 warga jabatan dari seluruh negeri.

Bagi mengurangkan kesan bencana, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut mengambil langkah awal dengan menempatkan pam air di kawasan berisiko bagi mengawal paras air dan melindungi tanaman daripada kerosakan.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI