KOTA BHARU, 29 April- Model Koperasi Halal Malaysia menjadi rujukan dan diiktiraf antarabangsa khususnya di negara rantau Asia Pasifik kata Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.
Di peringkat antarabangsa, empat model koperasi diperkenal iaitu, Koperasi Kariah Masjid, Koperasi Sekolah, Produk Halal dan Perbankan Islam.
Setakat ini lima koperasi dari Kemboja serta tiga koperasi di Filipina telah menggunakan model berkenaan iaitu Koperasi Kariah Masjid dan Koperasi Sekolah.
"Model yang kita buat ini dilihat lebih praktikal dan sesuai dalam usaha untuk memastikan kelangsungan koperasi pada masa akan datang. Jadi model-model kita ni sebenarnya lebih kepada komuniti dan termasuk juga menyediakan pelapis.
"Koperasi ini adalah satu-satu platform yang universal semua dunia faham pasal koperasi tetapi bentuk koperasi komuniti itu berbeza," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Negeri (MAN) Kelantan di sini.
Abdul Fattqah yang juga Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Rantau Asia Pasifik (ICA-AP) berkata, beberapa buah negara lain dikenal pasti untuk melaksanakan koperasi berdasarkan model koperasi halal Malaysia.
Perkara itu bagi meningkatkan ekonomi umat Islam selain menyediakan akses pasaran global, meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan, serta menjana pertumbuhan ekonomi koperasi yang mapan melalui pengantarabangsaan koperasi.
Setakat ini model koperasi Halal Malaysia digunakan di Thailand, Timor-Leste dan negara-negara di Afrika seperti Kenya.
Perkara itu membuktikan masyarakat dunia percaya kepada kepimpinan koperasi halal Malaysia.