fb fb fb fb fb

MKN: Kerajaan buka semula pendaftaran program rehabilitasi kepada ahli GISBH

Pendaftaran secara dalam talian boleh dibuat dan semua peserta akan dihubungi terlebih dahulu bagi tujuan koordinasi logistik

PUTRAJAYA, 28 November - Kerajaan memutuskan untuk membuka dan meneruskan pendaftaran bagi program rehabilitasi sukarela kepada ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin berkata, perkara itu diputuskan selepas mengambil kira ahli GISBH memerlukan bimbingan akidah dan kelangsungan hidup selepas tindakan penguatkuasaan terhadap organisasi itu.

"Justeru, bagi memberi peluang lebih ramai ahli menyertai program ini, kerajaan memutuskan untuk membuka dan meneruskan pendaftaran secara dalam talian sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan.

"Pendaftaran secara dalam talian boleh dibuat dan semua peserta akan dihubungi terlebih dahulu bagi tujuan koordinasi logistik," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, kerajaan menawarkan program rehabilitasi secara sukarela selama 90 hari bagi memulihkan akidah pemimpin dan pengikut GISBH yang terpesong dari ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pendaftaran program boleh dilakukan menerusi satu daripada kaedah-kaedah berikut iaitu pendaftaran secara dalam talian menerusi pautan https://form.jotform.com/242760538389468.

Mereka yang berminat boleh menghubungi pusat panggilan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) di talian 03-88707294 / 7295 / 7296 atau MKN di talian 03-88880733 bagi mendapatkan bantuan pendaftaran secara dalam talian.

Selain itu, pendaftaran juga boleh dilakukan di Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah.

Pada 14 November lalu, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman GISBH adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

GRACE AISYAH KEDAYAN