fb fb fb fb fb

Misi GSF: 'Alhamdulillah, 23 sukarelawan Malaysia selamat tiba di Istanbul' - Fahmi

23 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) selamat tiba di Istanbul, Turkiye

KUALA LUMPUR, 4 Oktober – Seramai 23 sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) dari Malaysia yang ditahan tentera Israel minggu lalu, selamat tiba di Istanbul, Türkiye malam ini (kira-kira 9.15 malam waktu Malaysia)

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkembangan itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim.

“Alhamdulillah, Datuk Sani baru maklum bahawa 23 sukarelawan GSF dari Malaysia telah selamat tiba di Istanbul. Semoga Allah SWT mempermudah segala urusan mereka untuk pulang ke tanah air,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan kesemua mereka menaiki pesawat khas kerajaan Turkiye, TK6921, yang berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel, petang tadi waktu Malaysia.

Pada Khamis, kesemua aktivis berkenaan ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal yang mereka naiki dipintas di perairan Zon Merah R3, Laut Mediterranean, sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Antara mereka termasuk penyanyi Heliza Helmi bersama adiknya, Nur Hazwani Afiqah, personaliti media sosial Nurfarahin Romli (Farah Lee), penyanyi Zizi Kirana serta beberapa aktivis lain seperti Musa Nuwayri, PU Rahmat, Ardell Aryana dan Haroqs.

Misi GSF kali ini disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara yang belayar ke Gaza sebagai simbol solidariti, selain membawa bantuan kemanusiaan bagi penduduk di wilayah itu.

GRACE AISYAH KEDAYAN