
KUALA LUMPUR, 3 April – Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) kini sedang meneroka potensi penggunaan teknologi canggih, termasuk sensor pernafasan dan kamera kecerdasan buatan (AI), sebagai langkah proaktif bagi membanteras pemandu mabuk.
- Pengesanan langsung sebaik pemandu memasuki kenderaan melalui sensor pernafasan atau sentuhan kulit.
- Kamera AI memantau tingkah laku pemandu secara masa nyata untuk pengesanan awal.
- Kos menjadi cabaran kritikal dalam memastikan teknologi boleh diakses dan diguna pakai secara meluas.
- Penyelesaian kos efektif dicapai melalui integrasi teknologi, contohnya menggabungkan titik buta dengan sistem isyarat sedia ada.
Pengarah Pusat Keselamatan Kenderaan dan Biomekanik (VSB) MIROS, Ts. Zulhaidi Mohd Jawi @ Said berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada hala tuju pembangunan teknologi keselamatan masa depan yang beralih kepada sistem pengesanan secara langsung sebaik sahaja pemandu memasuki kenderaan.
“Sistem yang sedang dibangunkan ini membolehkan pengesanan secara langsung dilakukan sebaik sahaja pemandu memasuki kenderaan, sama ada melalui pernafasan mahupun sentuhan kulit pada sensor khas.
“Malah, kita juga meletakkan harapan kepada teknologi kamera AI untuk memantau tingkah laku pemandu secara masa nyata (real-time),” katanya ketika ditemui di Angkasapuri, hari ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui aspek kos menjadi cabaran paling kritikal dalam memastikan teknologi berkenaan dapat diakses dan diguna pakai secara meluas dalam usaha pencegahan.
Mengulas lanjut, Zulhaidi menjelaskan kunci kepada penyelesaian kos yang efektif adalah melalui kaedah integrasi teknologi, berbanding menghasilkan sistem yang berasingan bagi setiap fungsi keselamatan.
“Contohnya seperti teknologi titik buta (blind spot technology) yang kita gabungkan dengan sistem signal sedia ada. Melalui kolaborasi teknologi ini, kita dapat berjimat kerana tidak perlu menyediakan peranti yang berbeza bagi setiap masalah.
“Jika kita gunakan sistem khas hanya untuk pengesanan mabuk, kosnya akan menjadi sangat mahal. Oleh itu, integrasi adalah kunci utama untuk menjadikannya lebih mampu milik,” jelas beliau.