KUCHING, 18 Januari - Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) menubuhkan Jawatankuasa Infrastruktur dan Pemantauan Jalan yang bertindak memantau proses penyelengaraan termasuk lintasan feri.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan Timbalan Menteri MIPD Datuk Ir. Aidel Lariwoo.
Katanya, Ir. Aidel akan mengemukakan laporan penuh hasil pemantauan penyelengaraan jalan di negeri ini pada Jun depan selepas Gawai Dayak.
"Beliau akan memantau dengan teliti sebarang cabaran dan isu yang dihadapi dalam penyelenggaraan jalan, termasuk feri.
“Feri adalah satu lagi cabaran yang kita hadapi, terutamanya pada musim tengkujuh ini,” kata Uggah, yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan.
Beliau berkata demikian pada majlis Malam Gala Penyelenggaraan Jalan Negeri JKR Sarawak yang julung kali diadakan di sini, malam Rabu.
Datuk Amar Douglas yang juga Menteri MIPD memaklumkan laporan itu turut akan dimajukan kepada kontraktor atau penyedia perkhidmatan berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
Jelasnya, langkah itu selaras dengan usaha kementerian dalam menegakkan prinsip tadbir urus yang baik dan integriti.
"Ini penting berikutan keselamatan pengguna jalan raya bergantung kepada struktur jalan raya yang baik selain memastikan penyampaian perkhidmatan yang cemerlang" katanya.
Dalam majlis itu, Datuk Amar melancarkan Sistem Pengurusan Perisikan Jalan Raya (PRIMS), sebuah aplikasi mudah alih yang akan digunakan untuk memantau lokasi projek jalan-jalan yang bermasalah di seluruh bahagian negeri ini dengan lebih pantas.