KUALA LUMPUR, 3 Oktober- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir berlaku di hampir semua negeri sehingga pukul 4.00 petang ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, ribut petir dijangka melanda seluruh Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Putrajaya.
Keadaan cuaca sama juga dijangka melanda beberapa daerah di Kelantan, termasuk Kuala Krai dan Gua Musang serta di Pahang (Lipis, Raub, Jerantut dan Kuantan).
Selain itu, ribut petir dijangka turut melanda Selangor (Hulu Langat dan Sepang), Negeri Sembilan (Jelebu dan Seremban), Melaka (Jasin) dan Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat dan Kluang).
Di Sabah, keadaan sama diramal berlaku di Pedalaman (Nabawan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau dan Sandakan (Kinabatangan).
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah untuk tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran," katanya.
MetMalaysia memaklumkan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.