fb fb fb fb fb

Mesyuarat khas 9 Februari tentukan tarikh PRU DUN Johor - SPR

PUTRAJAYA, 25 Januari - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas 9 Februari ini,bagi menentukan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Johor ke-15.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan berkata, SPR sudah menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Penggal Ke-14 daripada Speaker DUN Johor.

"Berdasarkan Fasal (4) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, satu pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN itu," katanya.

Ikmalrudin berkata mesyuarat khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh bagi membincangkan beberapa tarikh penting termasuk tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

Sabtu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRU DUN Johor diadakan.

Kerajaan negeri sebelum ini diterajui Barisan Nasional dengan 28 kerusi, manakala Pakatan Harapan, 27 kerusi.

Media Baharu