fb fb fb fb fb

Meski hujan lebat di Melaka lebih 50,000 semangat meraikan Hari Kebangsaan

Walaupun cuaca tidak begitu mengizinkan, pengunjung tetap bersemangat untuk menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Melaka/Foto Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya

MELAKA, 31 Ogos - Lebih 50,000 pengunjung membanjiri Persiaran Jalan Merdeka, Banda Hilir untuk menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Melaka, walaupun hujan lebat melanda sejak awal pagi tadi.

Sambutan yang dimulakan lewat sekitar 9 pagi itu tetap berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 8,000 peserta dari 161 kontinjen yang berarak sejauh 4.8 kilometer, bermula dari Padang Dataran Pahlawan hingga ke Stadium Hang Tuah.

Walaupun cuaca tidak begitu mengizinkan, pengunjung tetap bersemangat untuk menyaksikan acara ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menerusi hantaran di Facebooknya berkata perbarisan dan perarakan pada tahun ini melibatkan lebih 10,000 peserta yang terdiri daripada 140 buah kontinjen pelbagai Jabatan dan Agensi.

"Pelbagai elemen perpaduan dan kebudayaan dipersembahkan, menjadikan sambutan ini lebih bermakna dan berwarna-warni. Sambutan di lokasi baharu ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, dan kehadiran ramai pengunjung menambah lagi kemeriahan suasana.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan perbarisan dan sambutan Hari Kebangsaan ini. Semoga semangat kemerdekaan ini terus dipertahankan dan diwarisi oleh generasi akan datang," katanya.

Rata-rata pengunjung menyatakan kepuasan mereka dengan lokasi baharu sambutan, yang menyediakan ruang parkir yang lebih luas dan kemudahan untuk orang ramai berkumpul sepanjang jalan.

"Sangat bangga dengan negara kita dan perpaduan yang ditunjukkan oleh pasukan-pasukan yang terlibat," kata seorang pengunjung, Ho Man Fei.

"Tahun ini lebih meriah dengan banyak kontinjen yang terlibat. Lokasi ini lebih baik kerana luas dan mudah diakses," kata Nurfazreen Elyana Muhamad Zailan.

"Kami dapat melihat pelbagai institusi yang terlibat dan persembahan yang menarik. Paling best, pengalaman mandi hujan semasa sambutan ini," kata seorang lagi pengunjung, Nur Syahindah Syazwani Saifull Bhari.

Antara kenamaan yang hadir termasuklah Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bersama barisan kepimpinan negeri.

Pelbagai acara menarik dipersembahkan, termasuk perarakan kontinjen dan pertunjukan udara, Perarakan Bot dan Jet Ski di Sungai Melaka yang bermula di Taman Rempah, Pengkalan Rama dan berakhir di jeti Casa Del Rio yang dipaparkan menerusi tayangan skrin gergasi turut menjadi tumpuan pengunjung.

Lebih 845 kenderaan, termasuk aset tentera, basikal tua, motosikal berkuasa tinggi, dan beca, turut menyertai perarakan tersebut, menambah kemeriahan sambutan.

Sambutan kali ini juga diserikan dengan Pertunjukan Lintas Udara daripada Unit Udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

GRACE AISYAH KEDAYAN